Malah rekod terakhir pertemuan mereka ketika bertarung merebut tempat ketiga dalam Piala Dunia 1986 menyaksikan enam gol dihasilkan dengan Perancis menang 4-2.

Ironinya, pertemuan itu adalah yang terakhir dua negara berjiran di Eropah itu dalam perlawanan kompetitif kerana selepas itu mereka hanya bertemu dalam lapan perlawanan persahabatan sahaja.

Daripada jumlah itu, Belgium menang dua termasuk yang terakhir tiga tahun lalu apabila perlawanan di Stade de France itu menyaksikan tujuh gol dihasilkan untuk keputusan 4-3.

Namun dengan diperkuatkan pemain muda dan berani kali ini, Perancis langsung tidak menunjukkan rasa gentar setakat ini hingga berjaya ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2006 hasil prestasi meyakinkan Kylian Mbappe di bahagian serangan selain Benjamin Pavard serta Lucas Hernandez di benteng pertahanan.

“Kami tidak takut kepada sesiapa. Kami sentiasa yakin sejak dari mula dan tidak pernah mempertikaikan tentang sumbangan kami,” kata Pavard yang begitu berpengaruh membantu jentera serangan Perancis.

Mengenai jurulatih Didier Deschamps, Pavard menyifatkan pengendali yang pernah mengetuai Perancis menjuarai Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 itu mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk pemikiran pemain-pemainnya.

“Dia sentiasa memberi kata-kata perangsang yang hebat. Kami kini bersedia berperang bersama-sama beliau,” tambah Pavard yang bersama Hernandez mendapat kepercayaan tinggi daripada Deschamps.

Di pihak Belgium pula, kemampuan jurulatih Roberto Martinez mengadunkan bakat individu sehingga menjadi gabungan yang kuat tidak perlu dipertikaikan lagi sejak tiba dan membimbing negara itu mulai Ogos 2016 selepas dipecat Everton.

Bermula dengan rentak sumbang apabila ditewaskan Sepanyol 0-2 di tempat sendiri, Martinez dan Belgium selepas itu tidak menoleh ke belakang lagi apabila tidak kalah dalam 23 perlawanan selain berjaya menghasilkan 78 gol.

Ditambah dengan kehadiran penolong jurulatih Thierry Henry di Rusia, Belgium kini muncul negara paling banyak mencipta jaringan di sini iaitu dengan 14 gol setakat ini daripada lima perlawanan yang diharungi.

“Dia (Henry) memberi nafas baharu untuk menyerang. Semua penyerang datang terus berjumpanya (untuk mendapatkan nasihat),” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis, Noel Le Graet.

Dengan taktik Martinez turut menjadi, kelibatnya kini semakin dikagumi terutama percaturannya dalam memilih pemain yang sesuai untuk diturunkan mengikut pasukan yang dihadapi Belgium.

Misalnya ketika bertemu Jepun dalam pusingan kedua, Martinez menggantikan dua pemain sayap dengan dua pemain tengah yang akhirnya berjaya menjaringkan gol. Begitu juga dalam menyekat jentera serangan Brazil, beliau menurunkan dua pemain tengah bertahan yang kental untuk membendungkan pergerakan lawan mereka.

Maka berdasarkan situasi ini, yang mampu menghalang berlakunya pesta gol nanti hanyalah kecemerlangan Thibaut Courtois di gawang Belgium dan Hugo Lloris di pintu gol Perancis dengan masing-masing mempunyai reputasi yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Persoalannya kini, apakah dua penjaga gol ini mampu menghalang jentera serangan hebat lawan masing-masing yang mempunyai nama-nama besar seperti Mbappe, Antoine Griezman, Paul Pogba, Eden Hazard, Romelo Lukaku dan Kevin de Bryune? – AGENSI