Pemain berpengalaman Baddrol Bakhtiar (gambar) pa­ling mencuri tumpuan apabila meraih tiga anugerah utama dalam majlis tersebut apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai, Pemain Tengah Terbaik 2017 dan Penjaring Terbanyak Liga Super (tempatan).

“Sukar menggambarkan perasaan saya. Saya rasa ber­belah ba­hagi antara gembira dan sedih. Gembira kerana dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai dan sedih ke­rana gagal bantu Kedah mempertahankan Piala Malaysia.

“Kejayaan ini akan menjadi perangsang untuk saya terus beraksi cemerlang pada musim akan datang dan terus membantu pasukan Kedah meraih lebih banyak kecemerlangan,” katanya kepada wartawan selepas majlis.

Dalam pada itu, dua lagi rakan sepasukan Baddrol dalam skuad Lang Merah iaitu Ifwat Akmal Chek Kassim dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik manakala Liridon Krasniqi dari Kosovo memenangi anugerah Pemain Import Terbaik.

Liridon turut dipilih sebagai pemenang anugerah Pemain Paling Popular dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Sementara itu, anugerah Penyokong Terbaik dan Pasukan Terbaik turut dimenangi oleh juara Piala FA itu, malah anugerah Media Sosial Terbaik juga menjadi milik Kedah.

Pencapaian Kedah tahun ini adalah menjadi juara Piala Sumbangsih, Piala FA, naib juara Pia­la Malaysia dan menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keempat liga.

Pemilihan dilakukan menerusi undian oleh jurulatih pasukan, ketua pasukan dan 20 wakil media.