Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, pada masa ini, KFA tidak berhasrat ‘mengintai’ ketua jurulatih baharu dan berharap Azzmi dapat memberi khidmat yang cemerlang kepada skuad Lang Merah.

Mohd. Asmirul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan negeri, berkata sepanjang Azzmi memangku jawatan itu, Kedah berjaya bangkit dan mencipta kemenangan berdepan MIFA dan terbaharu menewaskan juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 31 Ogos lepas.

“Kejayaan ini menunjukkan pemain Kedah memerlukan sentuhan baharu selain kerjasama yang baik antara pemain dan jurulatih untuk mencapai kemenangan pada perlawanan itu. Apa kita harapkan supaya momentum ini akan terus dikekalkan pada perlawanan seterusnya,” kata beliau.

Mohd. Asmirul yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan ditemui pemberita dekat sini selepas menyampaikan cek Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah kepada Champawan Omar, 51, ibu kepada Nor Laila Ramli, 30, yang meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di Kuala Kedah, ketika pulang dari kerja pada 3 September lepas

Kemerosotan skuad Lang Merah menyebabkan ketua jurulatihnya Mohd. Nidzam Adzha Yusoff direhatkan KFA.– BERNAMA