Dalam kata lain, Malaysia mesti menumpaskan China dalam aksi terakhir Kumpulan J esok jika mahu me­raih tiket ke Kejua­raan AFC bawah 23 (B-23) di Bangkok, tahun depan.

Di atas kertas ia nampak sukar kerana China telah meledak 13 gol dalam dua perlawanan pertama selepas membelasah Laos 5-0 dan Filipina 8-0, namun jangan dilupa ada sebab mengapa Malaysia digelar ‘pembunuh gergasi’.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang mengalahkan Filipina 3-0 dan Laos 1-0 dalam aksi terdahulu mengejutkan Arab Saudi dan Korea Selatan ketika memahat sejarah ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 di China, tahun lalu.

Kejayaan melayakkan diri ke Bangkok menawarkan tiket Sukan Olimpik 2020 untuk direbut, sasaran utama Kim Swee dan anak-anak buahnya.

“Esok kita turun dengan satu objektif iaitu mesti menang. Memang tidak mudah tetapi bukan mustahil,” kata Kim Swee.

Berdasarkan format pertan­­dingan, 11 juara kumpulan akan layak secara automatik ke pu­singan akhir, diikuti empat naib juara terbaik manakala Thailand sudah mengesahkan tiket selaku tuan rumah dari 8-26 Januari.

Biarpun ada empat slot ditawarkan kepada naib juara kumpulan, namun peluang Malaysia untuk layak cukup tipis kerana berada di ranking kelapan.

Selepas merehatkan beberapa tonggak seperti Safawi Rasid dan Nik Syahiran Nik Mat dalam kesebelasan utama menentang Laos, Kim Swee bersedia menurunkan semula barisan terbaiknya esok.