Atletico mengesahkan tiket suku ­akhir kejohanan kelab elit Eropah itu buat kali keempat berturut-turut selepas menyingkirkan wakil Jerman, Bayer Leverkusen menerusi agregat 4-2 setelah aksi kedua peringkat 16 terbaik berakhir dengan seri 0-0, hari ini.

Mereka menjadi gergasi bola sepak Sepanyol ketiga menerusi kemaraan selepas Real Madrid dan Barcelona, sekali gus melengkapkan senarai lapan pasukan terbaik yang turut disertai Bayern Munich, Juventus, Borussia Dortmund, Monaco dan Leicester City.

Undian suku akhir akan dilakukan di Nyon esok, namun Simeone berkata, siapa lawan yang bakal ditentang bukan tumpuannya ketika ini, sebaliknya mereka hanya berminat memikirkan tentang pertemuan dengan pasukan tangga ketiga La Liga, Sevilla pada Ahad ini.

“Kami hanya memikirkan tentang perlawanan hujung minggu ini menentang Sevilla.

“Atletico tidak ada pengaruh (dalam undian), jadi tiada apa yang boleh kami lakukan.

“Bertemu gergasi seperti Real, Barcelona dan Bayern atau menentang pasukan lain sama sukarnya. Yang penting kami tidak akut dan melakukan persiapan,” kata Simeone selepas tamat perlawanan.

Atletico kini menghuni tangga keempat dalam La Liga, lima mata di belakang Sevilla, yang ditunjukkan jalan keluar daripada Liga Juara-Juara selepas tewas 2-0 kepada Leicester, semalam. – AGENSI