Walaupun lega dengan gol tunggal menerusi sepakan penalti Antoine Griezmann dalam aksi pertama di laman sendiri, namun jurulatih dari Argentina itu berkata, ia bukan jaminan tempat Atletico ke separuh akhir sudah selamat.

Atletico menguasai sebahagian besar permainan di Stadium Vicente Calderon hari ini dan memaksa pelawat berkubu di kawasan sendiri.

Begitupun kegagalan menja­ringkan lebih banyak gol menyebabkan mereka tidak membawa bekalan selesa apabila bertandang ke Stadium King Po­wer pada 18 April ini.

“Kami bakal berdepan cabaran hebat apabila beraksi di sana nanti.

“Stadium bola sepak Inggeris agak terbuka dan penonton sa­ngat dekat dengan padang. Perlawanan itu akan menjadi ujian sebenar kami,” kata Simeone.

Griezmann meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-28 menerusi sepakan penalti kontroversi selepas dia dijatuhkan oleh pemain tengah Leicester, Marc Albrighton.

Albrighton mendakwa, Jonas Eriksson melakukan kesilapan menghadiahkan sepakan penalti kepada Atletico kerana insiden tersebut berlaku di luar petak, namun bantahannya tidak diendahkan pengadil dari Sweden itu.

Pada ketika Griezmann beraksi cemerlang dan kerap memberi masalah kepada pertahanan lawan, penyerang Leicester, Jamie Vardy sebaliknya tenggelam, malah hampir tidak me­nyempurnakan sebarang hantaran.

Dia kelihatan bersendirian di kawasan Atletico ke­rana kebanyakan rakan-rakan sepasukannya berkampung di kubu sendiri.

Simeone bagaimanapun memberi amaran kepada pemainnya agar tetap berwaspada dengan ancaman Vardy dalam aksi kedua.

“Saya sukakan dia. Jamie penyerang yang berbahaya dan boleh menghukum kami hanya kerana kesilapan kecil,” ujarnya.

Sementara itu, pengurus Leicester, Craig Shakespeare turut membantah tindakan pe­ngadil menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan.

“Ia keputusan yang menjadi penentu dalam perlawanan ini. Benar berlaku kekasaran di situ tetapi bukan penalti sepatutnya,” kata Shakespeare.

Bagaimanapun dia percaya, pintu ke separuh akhir belum tertutup walaupun mengakui Atletico sebuah pasukan yang bagus.

“Atletico antara pasukan terbaik Eropah dan kami menunjukkan prestasi baik dengan memberi tentangan kepada mereka.

“Kami memiliki rekod baik di Stadium King Power sejak ke­belakangan ini, jadi peluang masih terbuka. Kami tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini,” katanya lagi. – AFP