Skuad Los Rojiblancos yang pernah beraksi dalam tiga final Liga Juara-Juara pada 1974, 2014 dan 2016 bagaimanapun ditunjukkan jalan keluar hari ini apabila seri 1-1 kepada Chelsea, sekali gus memberikan dua slot Kumpulan C kepada AS Roma dan Chelsea.

Atletico kini hanya mampu berharap untuk mencari keputusan terbaik dalam Liga Europa agar tidak mengalami ‘kerosakan’ le­bih teruk, kata akhbar sukan ha­rian Sepanyol, Marca.

Gergasi bola sepak Sepanyol itu akan menikmati 6 juta euro (RM29 juta) jika layak ke peringkat kalah mati, namun sekadar beraksi dalam Liga Europa bermakna mereka hanya menikmati 500,000 euro (RM2.41 juta).

Habuan yang diterima juga akan meningkat kepada 6.5 juta euro (RM31.29 juta), 1 juta euro (RM4.81 juta) untuk Liga Europa jika mereka layak ke suku akhir Liga Juara-Juara dan 7.5 juta euro (RM36.11 juta), 1.6 juta euro (RM 7.70 juta) Liga Europa jika ke separuh akhir. Naib juara pula menerima 11 juta euro (RM53 juta) (3.5 juta euro (RM16.85 ju­ta)), manakala ju­ara menikmati habuan 15.5 juta euro (RM74.62 juta) (6.5 juta euro (RM31.30 ju­ta)).

Pasukan juga akan menikmati keun­tungan besar daripada segi penjualan tiket, dan penyingkiran Atletico menyebabkan mereka secara keseluruhan ke­rugian 25 juta euro, kata Marca lagi.

Sementara itu, pengendali ­At­­letico, Diego Simeone me­negaskan, dia tidak bimbang akan kehilangan tonggak utama di­sebabkan kegagalan pasukannya meneruskan kemaraan ke saingan kelab elit Eropah itu.

“Tidak (bimbang). Saya fikir ini satu cabaran baharu. Semua tidak bagus ketika ini te­tapi kami akan menja­dikan ia po­sitif.

“Saya tidak akan kata ia satu kegagalan kerana kita sudah tahu perkara seperti ini boleh berlaku. Saya fikir kegagalan adalah apabila anda mempunyai objektif tetapi gagal mencapainya.

“Saya fikir pasukan ini telah me­nunjukkan betapa kami tidak pernah berputus asa dan musim yang panjang menanti di depan. Kita lihat sahaja apa akan berlaku pada hujung musim nanti,” kata Simeone. – AGENSI