Marin telah memberi amaran keras beberapa jam selepas stesen radio Sepanyol melaporkan bahawa Barcelona bersedia memenuhi tuntutan klausa pelepasan pemain antarabangsa Perancis itu yang bernilai 100 juta euro (RM471 juta).

Katanya lagi, pendirian kelab tersebut sangat jelas.

“Kami tidak pernah berunding tentang Griezmann mahupun berniat untuk berbuat demikian. Beberapa bulan lalu, saya secara peribadi telah memaklumkan kepada Presiden Barcelona bahawa pemain kami bukan untuk dijual ataupun akan dijual.

“Dalam masa sama, saya juga memberitahu kepadanya bahawa kelakuannya itu sangat tidak wajar dan bertentangan dengan intergriti pertandingan,” kata Marin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman web rasmi pasukan.

Walau bagaimanapun, ketidakpastian terhadap masa depan Griezmann tidak menjejaskan persiapan Atletico bagi mengharungi perlawanan akhir Liga Europa menentang Marseille.

“Kami sudah cukup muak dengan tingkah laku Barcelona. Daripada Presiden, pemain hinggalah kepada ahli lembaga, semuanya bercakap apa yang mereka lakukan tentang masa depan pemain dengan kontrak sedia ada dan hanya beberapa hari sebelum final Liga Europa. Ini merupakan satu tingkah laku yang sama sekali tidak menghormati Atletico,” ujar Marin.

Katanya, Atletico akan menuntut pampasan daripada Barcelona sekiranya pemain berkenaan melaksanakan hak untuk membatalkan kontraknya ekoran tekanan yang hadir daripada kelab itu sepanjang musim ini.

“Cukup-cukuplah. Saya berharap kenyataan ini telah menyampaikan pendirian kami dan beri laluan kepada penyokong Atletico menikmati keseronokan pada detik ini dan melakukan persediaan untuk ke final,” jelasnya.

Rayuan Marin itu dibuat selepas stesen radio Cadena Cope melaporkan Barcelona telah memaklumkan kepada Atletico Madrid yang mereka bersedia menjelaskan tuntutan klausa pelepasan Antonie Griezmann dan kelab itu mengetahui pemain berkenaan akan meninggalkan mereka pada penghujung musim ini. – AFP