Perancangan jurulatih Madrid, Zinedine Zidane yang menurunkan skuad kedua dengan mengetepikan Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale hampir memakan diri selepas gandingan pemain mudanya gagal menyerlah hinggalah Asensio menjaringkan gol.

Real kelihatan bergelut ketika menentang Leganes dan terlepas lapan peluang menjaringkan gol dan membuktikan mereka tidak bersungguh-sungguh untuk menghadapi Copa del Rey walaupun sebahagian besar penyokong setia kelab Madrid itu memenuhi Stadium Butarque.

Rembatan Mateo Kovacic tersasar jauh sebelum rehat dan penjaga gol Real, Kiko Casilla menepis rembatan penyerang Leganes, Claudio Beauvue.

Pemain antarabangsa Sepanyol, Asensio yang menerima hantaran lintang Theo Hernandez, melakukan voli untuk menghasilkan gol yang dicari skuad Los Blancos.

“Kami tidak mengatakan bahawa kami bermain baik tetapi kami beroleh keputusan yang diingini.

“Kami perlu mula mencatat kemenangan dan perlu terus bersabar serta percaya kami mampu melakukannya jika kami bersatu. Kemenangan ini akan menjana lebih banyak kemenangan pada masa akan datang,” tegas Zidane.

Kedua-dua pasukan akan mengharungi perlawanan timbal balik di Santiago Bernabeu, 24 Januari ini. - REUTERS