AS yang menjulang Piala Dunia buat kali ketiga di Kanada, empat tahun lalu, menyumbat 10 gol dalam babak kedua permainan di Reims dan kejayaan besar itu menyaksikan mereka memintas rekod 11-0 Jerman ke atas Argentina pada 2007 dan turut mengatasi pencapaian sendiri menerusi kemenangan 7-0 dalam pertandingan terdahulu.

Bintang AS, Alex Morgan meledakkan lima gol, sementara Rose Lavelle dan Samantha Mewis masing-masing menjaringkan dua gol, manakala Lindsey Horan, kapten Megan Rapinoe, pemain gantian, Mallory Pugh serta Carli Lloyd turut meletakkan nama selaku penjaring gol dalam perlawanan berat sebelah Kumpulan F di Stadium Auguste-Delaune.

Bagaimanapun, tindakan pemain AS meraikan gol mereka secara keterlaluan dalam perlawanan tersebut tidak semua yang menyenanginya.

Bekas pemain antarabangsa Kanada, Kaylyn Kyle yang bertugas selaku penganalisis kejohanan itu untuk rangkaian sukan televisyen Kanada, TSN sewaktu bersiaran berkata: “Sebagai rakyat Kanada kita jangan sesekali terfikir untuk bertindak demikian...Bagi saya ia tidak menghormati dan memalukan.”

Kyle kemudian menerusi media sosial memberitahu, dia menerima ancaman bunuh ekoran komennya itu, tetapi mengulangi pendiriannya bahawa pemain AS meraikan jaringan mereka secara keterlaluan dan tidak menghormati perasaan orang lain.

Ramai pengguna Twitter turut melemparkan kritikan kepada skuad AS di atas tingkah laku mereka itu dengan hashtag "UglyAmericans".

“Pemenang yang tiada kelas lebih teruk daripada mereka yang ditimpa kekalahan buruk, tanpa mengira jantina,” kata satu komen dalam Twitter.

Bagaimanapun, kolumnis USA Today, Nancy Armour tidak menunjukkan rasa simpati.

“Sila tunjukkan sikap budi pekerti dan kemarahan anda di tempat lain. Ini Piala Dunia, bukan pertandingan liga di peringkat bawahan,” tulisnya.

Jurulatih AS, Jill Ellis menolak cadangan agar para pemainnya menunjukkan rasa simpati terhadap Thailand yang menghuni ranking ke-34 dunia.

“Ini kejuaraan dunia, jadi semua pasukan yang berada di sini adalah hebat kerana berjaya sampai sehingga ke peringkat ini. Cara menghormati pasukan lawan ialah dengan memberikan tentangan sengit,” kata Ellis. - AFP