Kegagalan itu pastinya memberi malapetaka kepada bola sepak AS selepas Trinidad memperoleh tiga mata hasil jaringan sendiri Omar Gonzalez dan gol menarik daripada Alvin Jones.

Bintang AS, Christian Pulisic cuba merapatkan kedudukan apabila mengurangkan defisit gol pada babak kedua namun usaha mereka itu masih belum cukup.

Skuad The Yanks itu sah tersingkir selepas Panama mara ke Piala Dunia buat kali pertama apabila melakar kemenangan 2-1 dalam satu lagi aksi kelayakan CONCACAF. Honduras pula layak beraksi dalam play-off selepas menduduki tangga keempat apabila menumpaskan Mexico 3-2.

Honduras bakal menentang Australia dalam dua aksi play-off pada November ini bagi merebut tiket ke Rusia, bagaimanapun tumpuan tetap ke arah kegagalan AS ke pusingan akhir Piala Dunia.

“Jelas sekali kami kecewa. Kami memiliki peluang pada hari ini. Tiada alasan untuk kami tidak mendapatkan gol kedua atau sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata. Memang memalukan untuk kami. Kami tidak sepatutnya berada di rumah pada Piala Dunia dan saya bertanggungjawab.

“Perlawanan tidak penting bagi kami dan kami sudah gagal pada hari ini. Tiada alasan. Kami gagal. Kami sepatutnya meninggalkan padang ini dengan sekurang-kurangnya satu mata,” kata jurulatih AS, Bruce Arena.

Skuad kendalian Arena memerlukan sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Ato Boldon untuk mengesahkan tempat di pusingan play-off.

Selepas membelasah Panama 4-0 Jumaat lalu, The Yanks tiba di kepulauan Caribbean dengan penuh yakin untuk mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia bagi setiap edisi sejak 1990.

Bagaimanapun, keadaan sebaliknya pula berlaku apabila kesilapan Gonzalez ketika ingin mengeluarkan bola daripada kotak penalti membawa padah apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-17 dan keadaan bertambah buruk selepas Jones merembat masuk gol kedua selang 20 minit kemudian. – AGENSI