Pemain berusia 23 tahun itu, yang mengikat kontrak jangka panjang bersama Arsenal bulan lepas, menyertai Fulham hanya empat hari sebelum perlawanan pembukaan musim Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace di Craven Cottage.

“Saya amat teruja. Saya sering menyaksikan perlawanan Fulham pada musim lalu, saya benar-benar gemar melihat cara mereka bermain bola sepak. Pasukan itu memiliki seorang pengurus yang bagus dan mereka merupakan sebuah kelab yang hebat, jadi saya begitu teruja menjelang musim baharu ini,” kata Chambers.

Anak-anak buah Slavisa Jokanovic dinaikkan ke Liga Perdana selepas melakar kemenangan 1-0 dalam aksi playoff ke atas Aston Villa Mei lalu, setelah kebangkitan pada lewat musim yang dipamerkan Fulham tidak memadai buat mereka menamatkan saingan di kedudukan dua terbaik dalam Liga Kejuaraan.

Chambers, yang memiliki tiga cap bersama skuad England, boleh beraksi sama ada di posisi bek kanan, bek tengah ataupun selaku pemain tengah. Dia sebelum ini pernah dipinjamkan ke Middlesbrough bagi musim 2016/17.

“Semua orang boleh melihat bahawa Fulham merupakan sebuah kelab yang begitu menggemari bermain bola sepak dengan melancarkan gerakan dari bahagian bawah padang. Saya menggemari gaya permainan yang sedemikian, jadi saya rasa permainan Fulham serasi dengan cara saya bermain,” tambahnya.

Chambers sebelum ini ada menyatakan tentang impiannya untuk merebut tempat dalam pasukan utama di Stadium Emirates sejak Arsenal berada di bawah kendalian Unai Emery.

Bagaimanapun, dengan kehadiran Laurent Koscielny, pemain yang baharu ditandatangani, Sokratis Papastathopoulos, Shkodran Mustafi dan pemain muda, Dinos Mavropanos telah menyaksikan satu persaingan sihat buatnya, justeru, bekas pemain Southampton itu akhirnya memilih menyertai Fulham bagi mencari peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

Dia dijangka bergandingan dengan bekas rakan sepasukannya dalam skuad England Bawah 21-tahun, Alfie Mawson di posisi pertahanan setelah pemain berusia 24 tahun itu menyertai Fulham dari Swansea, minggu lepas.

Penyerang Serbia Aleksdandr Mitrovic, penjaga gol Fabri, pemenang Piala Dunia dari Jerman Andre Schurrle dan bekas pemain tengah Nice Jean-Michael Seri turut menyertai Fulham sewaktu musim ditutup. - AFP