Wenger memilih Iwobi buat kali kedua dalam tempoh empat hari selepas penyerang Nigeria itu didapati berpesta hingga pukul tiga pagi kurang 48 jam sebelum Arsenal ter­singkir daripada Piala FA selepas tewas kepada Nottingham Forest.

Akhbar Britain, The Sun menyiarkan satu rakaman video pemain berusia 21 tahun itu dilihat sedang ‘menari sambil berteriak’ pada pukul 2.37 pagi di sebuah flat di Soho sehari sebelum pusi­ngan ketiga Piala FA.

Iwobi tersenarai dalam skuad Gunners yang kalah 2-4 kepada Fo­rest di City Ground, dan Wenger menegaskan, pemain itu hanya akan dihukum jika didapati bersalah.

Penyerang itu kemudian sekali lagi dipilih bagi pertemuan menentang Chelsea, menyaksikan pemain utama Theo Walcott diketepikan.

Jelas Wright, keputusan Wenger akan memberi mesej salah kepada pemain lain, sambil menyifatkan tindakan tersebut menjadikan Arsenal sebagai ‘bahan jenaka’.

“Ketika ini, pemain muda akan melangkah masuk dan pemain berpengalaman bakal meninggalkan Arsenal. Jadi, di mana datangnya ke­pimpinan?

“Arsene sepatutnya membuat keputusan yang lebih baik me­ngenai hal ini. Pendirian yang lebih kuat.

“Kerana Arsenal perlu mencari sebab kenapa mereka boleh tewas pada waktu itu. Semua orang mentertawakan kita, mereka beranggapan kita membuat lawak pada masa itu. Sudah tentu ada di antara pemain yang tidak berasa selesa.

“Orang akan beranggapan kita hilang kawalan. Apa yang ingin disampaikan kepada Theo?

“Wenger menurunkan pemain yang membuat masalah dalam tempoh kurang 48 jam sebelum perlawanan, masih bermain dalam perlawanan hari ini sedang­kan Theo ada di depan mata.

“Anda (Wenger) harus mula fikir sesuatu untuk masa depan anda,” kata Wright. – AGENSI