Wenger yang bakal meninggalkan Arsenal sebaik sahaja musim ini berakhir, pada awalnya bimbang pasukannya akan menutup perlawanan dengan keputusan seri.

Selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada babak pertama, pemain pertahanan, Nacho Monreal meletakkan Arsenal di depan, enam minit sejurus babak kedua bersambung dengan menewaskan penjaga gol lawan, Joe Hart menerusi rembatan ke penjuru.

Begitupun, West Ham tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi Marko Arnautovic, 13 minit kemudian selepas dia menyudahkan hantaran pemain gantian, Manuel Lanzini.

Ketika perlawanan dilihat seperti akan berakhir 1-1, Aaron Ramsey menghukum kesilapan pertahanan West Ham dengan merembat bola ke penjuru kiri lawan, sebelum Alexandre Lacazette melengkapkan kemenangan tuan rumah pada minit ke-85 dan 89.

Kemenangan bagaimanapun tidak merubah kedudukan Arsenal yang kekal di tangga keenam liga dengan 57 mata, enam mata di belakang pasukan tangga kelima, Chelsea.

“Cinta dan sokongan saya kepada Arsenal akan kekal untuk selamanya. Saya menyeru semua penyokong agar teguh di belakang pasukan supaya kita boleh menamatkan kempen pada kedudukan sebaik yang mungkin,” kata Wenger sejurus tamat perlawanan. - AGENSI