Finalis 2014 itu yang diperkuatkan Lionel Messi ternyata gagal menyaingi kemantapan dan kepantasan barisan Perancis yang diketuai Paul Pogba walaupun menguasai 60 peratus permainan dan melakukan lebih banyak percubaan bahaya.

Kegagalan memanfaatkan peluang menjadi punca skuad bimbingan Jorge Sampaoli berputih mata biar pun pernah pada satu ketika mendahului 2-1 menerusi jaringan Angel di Maria dan Gabriel Mercado pada minit ke-41 dan 48 untuk menafikan gol pendahuluan Perancis sumbangan Antoine Griezman yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-13.

Sebaliknya anak buah Didier Deschamps pula yang berjaya melakukan kebangkitan selepas itu dengan Benjamin Pavard kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-57 sebelum Kylian Mbappe menyumbat dua gol dalam tempoh empat minit untuk menamatkan sisa-sisa perjuangan Argentina minit ke-64 dan 68.

Kemampuan Mbappe menjaringkan dua gol itu membolehkan pemain berusia 19 tahun ini mengikut jejak Pele pada 1958 untuk muncul sebagai pemain termuda pernah mencipta jaringan sebanyak itu dalam satu perlawanan di Piala Dunia.

Walaupun Sergio Aguero berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol ketiga Argentina pada masa kecederaan namun ianya sudah terlambat untuk menyekat Perancis daripada mara ke suku akhir untuk menempah pertemuan dengan pemenang antara Uruguay dan Portugal yang beraksi lewat selepas itu.

Dengan kemenangan ini, Perancis yang merupakan juara dunia 1998 kini diletakkan sebagai salah satu pasukan pilihan untuk muncul juara sekali lagi di sini.

Selain Pogba, skuad Les Blues turut diperkuatkan penyerang pantas seperti Griezman, Mbappe dan Olivier Giroud manakala di bahagian tengah dimantapkan dengan kehadiran N’golo Kante dan Blaise Matuidi.

Di benteng pertahanan pula, Perancis membariskan Raphael Varane untuk bergandingan dengan Samuel Umtiti, Pavard dan Lucas Hernandez.

“Kami berjaya menutup mulut pengkritik kami dengan memberi respon yang baik dalam perlawanan ini. Kritikan ada di mana-mana dan saya tabik anak buah saya menerusi persembahan mantap dan berkualiti.

“Kami membuatkan Argentina menderita menerusi permainan yang kami rancang berbulan-bulan lamanya. Banyak emosi terbabit dalam perlawanan ini. Saya gembira untuk pemain saya,” kata Deschamps. AGENSI