Dia yang pernah membantu mengharumkan nama negara ketika menjuarai Piala AFF 2010 dan bola sepak Sukan SEA 2011, bertekad untuk bekerja keras pada saingan Liga Malaysia musim depan dalam usaha 'memikat hati' jurulatih kebangsaan.

“Saya rindu untuk kembali beraksi mewakili negara di peringkat antarabangsa dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik sekiranya terpilih untuk menyarung kembali jersi kebangsaan.

“Saya akan terus komited melakukan latihan bagi meningkatkan prestasi diri ke tahap yang terbaik serta membantu pasukan Kelantan pada saingan Liga Malaysia pada tahun akan datang," katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan kuiz dan peraduan 'Minum Yakult Sihat Sokmo' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, Pasir Mas, Kelantan, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Yakult (Malaysia), Hiroshi Hamada.

Sebanyak 51 buah sekolah di Kelantan telah mengambil bahagian dalam peraduan tersebut, yang mana SMK Pangkal Kalong, Ketereh muncul sebagai johan dengan membawa pulang hadiah lawatan ke Jepun selama lima hari empat malam.

Bagi Pertandingan Kuiz pula, seramai 24 pelajar dipilih untuk menghadiri pertandingan akhir, di mana tiga pemenang utama membawa pulang sebuah iPad 9.7 inci, manakala setiap pelajar lain menerima saguhati wang tunai berjumlah RM100 setiap seorang.

Tiga pemenang utama tersebut adalah Nurul Afifi Rubae dari SMK Kubang Bemban, Wan Ammar Haikal Wan Hussin (SMK Seri Intan) dan Nur Anis Afiqah Mohd. Amin (SMK Chetok, Pasir).

Mengulas berhubung pengurusan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Apek mengharapkan agar peminat Kelantan bersabar dan memberikan sedikit masa bagi melakukan yang terbaik.

“Saya yakin mereka akan melakukan yang terbaik bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan," ujarnya.- UTUSAN ONLINE