Penganjuran ini terus diadakan bagi tujuan memartabatkan serta menghargai jasa dan sumbangan para pemain yang bertungkus lumus untuk pasukan.

Bagi edisi tahun 2018, 139associates dan MK tampil sebagai rakan penaja utama, bersama rakan-rakan penaja yang lain iaitu PaddyGear, BB7, AY Sports dan Major Pomade.

Anugerah ini unik kerana penghargaan ini dianjurkan oleh para pemain, panel pemilih yang terdiri dari pengamal media memilih calon terbaik dan para penyokong mengundi untuk pemain pilihan mereka.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya berkata anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada pemain yang telah menyumbang keringat dalam karier mereka dalam masa sama mewujudkan suasana persaingan yang positif.

“Sehubungan dengan itu PFAM dan pihak asiana.my mengambil inisiatif untuk meneruskan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM-asiana.my untuk musim keempat bagi menghargai segala keringat yang dicurahkan pemain di atas padang.

“Terima kasih diucapkan kepada 139 Associates, MK, PaddyGear, BB7, AY Sports dan Major Pomade kerana memberikan keyakinan dan komitmen untuk memastikan anugerah berprestij ini terus hidup dalam arena bola sepak di Malaysia.” katanya dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Media dan Penaja Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM asiana.my 2018.

Pemenang Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM-asiana.my Liga Super 2018 akan menerima sebuah Trofi dan sebingkai gambar sumbangan asiana.my , wang tunai berjumlah RM1500 sumbangan 139associates dan MK, jersi tajaan PaddyGear, produk minyak wangi tajaan BB7, kasut sukan tajaan AY Sports dan juga perapi rambut tajaan Major Pomade.

Bagi Pemenang Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM-asiana.my Liga Perdana 2018 pula akan menerima sebuah Trofi dan sebingkai gambar sumbangan asiana.my, wang tunai berjumlah RM500 sumbangan 139associates dan MK, jersi tajaan PaddyGear, produk minyak wangi tajaan BB7, kasut sukan tajaan AY Sports dan juga perapi rambut tajaan Major Pomade.

Penilaian akan dibuat oleh Jawatankuasa Pencalonan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM – asiana.my yang terdiri daripada pengamal-pengamal media sukan yang berpengalaman.

Undian boleh dibuat melalui laman web rasmi PFAM iaitu www.pfam.my yang terbuka kepada semua peminat bola sepak di seluruh negara. - UTUSAN ONLINE