Pemain berusia 24 tahun itu menjaringkan gol pertama perlawanan sebelum penyerang Red Giants, Ahmad Hazwan Bakri menyamakan kedudukan. Selepas kedua-dua pasukan gagal menggandakan jaringan walaupun beraksi 120 minit, sepakan Rizal akhirnya menjadi pemutus apabila menyempurnakan sepakan penalti penentuan sudden death untuk Kedah menang 6-5.

“Bagi saya anugerah Pemain Terbaik Perlawanan ini bukan untuk saya tapi untuk semua pemain. Gol kemenangan penalti (malam) tadi dilakukan dengan agak gopoh. Saya berasa takut ketika mengambilnya tapi sudah rezeki dan akhirnya dapat juga piala kemenangan.

“Gol pertama perlawanan yang saya jaringkan itu memang tidak disangka tapi saya memang berasa sangat puas hati. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat, rakan-rakan dan keluarga saya yang datang dari jauh untuk memberi sokongan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Sementara itu, penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim berkata ingatannya kepada allahyarham bapanya merupakan motivasi kepadanya untuk beraksi dengan baik di hadapan kira-kira 80,00 penonton di Stadium Shah Alam dan berharap dia dapat membuat penampilan bersama skuad kebangsaan.

“Perlawanan agak sengit hingga diheret ke masa tambahan sebelum penentuan penalti. Alhamdulillah rezeki berpihak kepada kami dan menjuarai Piala Malaysia. Semasa sepakan penalti saya rasa gementar dan takut tapi saya berusaha menenangkan perasaan. Alhamdulillah saya dapat selamatkan satu sepakan.

“Sebelum beraksi saya berasa gementar tetapi perasaan itu hilang selari dengan perjalanan perlawanan. Motivasi saya adalah memperingati allahyarham bapa saya yang tidak dapat menyaksikan saya beraksi dan saya ingin membuktikan (kemampuan diri) kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya dari Kedah.

“Semua pemain mahu bermain bersama pasukan kebangsaan tetapi tidak mengapa saya masih muda,” katanya lagi.