Pemilihan presiden dan beberapa jawatan penting lain akan dilangsungkan dalam Kongres Kafa Ke-63 pada Ahad ini dan setakat ini beberapa nama telah menyatakan minat untuk menduduki kedudukan No. 1 itu manakala nama Annuar dicalonkan hari ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Annuar berkata beliau menolak pencalonannya dan keputusan tersebut dibuat untuk memberi laluan kepada muka baharu mengalas jawatan Presiden Kafa selepas sedekad beliau menerajuinya.

Menurutnya, beliau tidak perlu bertanding kerana percaya calon yang menawarkan diri mampu memacu Kafa menjadi lebih baik daripada apa yang telah dilakukannya sepanjang sedekad lalu.

“Tahun ini saya tidak pegang apa-apa jawatan (dalam Kafa). Namun RM8 juta telah disumbangkan kepada Kafa mela­lui syarikat di bawah rangkaian saya.

“Sepanjang bersama Kafa, saya telah berdepan pelbagai cabaran termasuklah digantung dalam Majlis Amanah Rakyat (Mara) kerana bola sepak Kelantan,” katanya menerusi entri dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Noor mengesahkan Annuar dicalonkan hari ini untuk jawatan Presiden Kafa bagi penggal 2017-2021.

Selain Annuar, dua Naib Presi­den Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail; Pengerusi Chengal Jati Sdn. Bhd., Datuk Ir. Shaari Hassan dan Pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu, Bibi Ramjani Ilias Khan turut dicalonkan merebut jawatan itu.

Sementara itu, Muhammad Nasir ketika dihubungi mengesahkan beliau akan bertanding merebut jawatan tersebut.

Katanya, beliau akan hadir untuk menandatangani borang pengesahan penerimaan pencalonan untuk kerusi No. 1 itu di pejabat Kafa dalam masa terdekat.

“Saya mengesahkan akan bertanding jawatan presiden. Saya berharap perwakilan memberi peluang kepada saya untuk mengangkat bola sepak Kelantan ke kedudukan lebih baik.

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, saya berjanji akan membuat perubahan terhadap corak kepimpinan persatuan dengan menawarkan barisan pemimpin lebih berdinamik dan berwibawa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rosmadi ketika dihubungi berkata, beliau masih belum membuat keputusan berhubung perkara tersebut.