Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau hanya memerlukan satu pencalonan sekiranya mahu bertanding jawatan tersebut pada Kongres FAM ke-54, 14 Julai ini.

"Itu tidak jadi masalah, kalau nak bertanding cuma perlukan satu pencalonan sahaja. Hendak dapatkan satu pencalonan tidak susah.

"Tapi macam saya katakan tak perlu kita komen dulu (isu pemilihan Presiden FAM). Lebih baik saya tumpukan kepada persiapan pilihan raya, lepas itu kalau kita nak bincang pasal bola kita bincang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Illias Khan yang menyatakan sokongan terhadap Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin untuk mengalas tanggungjawab sebagai orang No. 1 badan induk bola sepak negara itu.

KAFA mengesahkan akan mencalonkan Hamidin untuk bertanding bagi menggantikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meletakkan jawatan, baru-baru ini.

Kesemua 20 ahli gabungan kini sudah boleh menghantar pencalonan masing-masing sehingga tarikh akhir pengumuman calon Presiden FAM dibuat pada 11 Mei depan.

Annuar berkata, buat masa ini, beliau memberi tumpuan sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Banyak orang tanya. Saya mudah saja. Saya hendak buat kerja satu-satu. Dulu saya tarik diri tak bertanding FAM waktu itu, kerana saya nak tumpukan kerja-kerja saya sebagai Ketua Penerangan dan sebagainya.

"Kita ada masa tiga empat bulan lagi, saya nak fokus kepada pilihan raya, saya tak perlu komen dulu mengenai FAM, pencalonanpun tutup Mei ini, jangan pikul banyak sangat beban," katanya.

Pada Mac 2017, beliau membuat kejutan apabila menarik diri pada saat akhir untuk bertanding jawatan Presiden badan induk bola sepak negara itu bagi memberi laluan kepada Tunku Ismail. Kira-kira lima bulan lalu, beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden KAFA untuk memberikan laluan individu yang lebih layak menggalas tanggungjawab tersebut.