ANNUAR MUSA

Annuar menerima pencalonan daripada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) membuat keputusan untuk mencabar Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin selepas beliau mahu memberi pewakilan mempunyai alternatif untuk memilih presiden yang mereka kehendaki.

“Terima kasih Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi yang datang ke pejabat saya untuk menghantar borang pencalonan Presiden FAM.

“Saya merasakan para perwakilan wajar diberikan peluang memilih antara alternatif yang berbagai dan berbeza secara bebas dan terbuka tetapi dalam suasana penuh semangat kesukanan.

“Sudah lama bola sepak negara tercari-cari dan ternanti-nanti satu sentuhan yang benar-benar mengangkat bola sepak Malaysia ke satu tahap baru. Sesuai dengan semangat itu, saya mengesahkan telah membuat keputusan untuk menerima pencalonan bagi jawatan Presiden FAM. Terima kasih,” katanya yang dipetik daripada Facebook miliknya di sini hari ini.

Hamidin Mohd. Amin
Hamidin Mohd. Amin

Jangkaan untuk melihat Hamidin menang tanpa bertanding tidak kesampaian dan itu bermakna Presiden FAM yang baharu hanya akan diketahui pada Kongres FAM ke-54 yang diadakan pada 14 Julai depan.

Berdasarkan pengumuman tersebut, maka peminat bola sepak tempatan tidak perlu menunggu tarikh akhir pengesahan pencalonan iaitu pada 14 Jun ini kerana lawan Hamidin sudah pun diketahui.

Hamidin yang mendapat pencalonan daripada 18 ahli gabungan dikejutkan dengan pencalonan saat akhir Annuar dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) namun beliau telah menarik diri.

Jawatan Presiden FAM kosong selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Mesyuarat Khas Pertama bagi penggal 2017-2021 pada 2 April lalu menerima peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM.