Keputusan itu diumumkan oleh Annuar menerusi entri terbaharu di Facebook miliknya apabila beliau memuat naik borang pengesahan pencalonan sambil berkata setiap perwakilan wajar diberikan alternatif dalam membuat pilihan untuk melantik Presiden FAM yang baharu.

“Terima kasih Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi yang datang ke pejabat saya untuk menghantar borang pencalonan Presiden FAM.

“Saya merasakan para perwakilan wajar diberikan peluang memilih antara alternatif yang berbagai dan berbeza secara bebas dan terbuka tetapi dalam suasana penuh semangat kesukanan,” katanya.

Itu bermakna perebutan jawatan kerusi No. 1 badan induk itu bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru apabila seorang lagi calon adalah Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sudah pun mengesahkan pencalonannya pada 1 Jun lalu.

Seorang lagi calon iaitu Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi pula mengesahkan tidak bertanding. - UTUSAN ONLINE