Sehingga kini, status Annuar sama ada mahu bertanding atau tidak menjadi tanda tanya kerana FAM hanya menerima pengesahan daripada seorang lagi calon iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd. Amin pada 1 Jun lalu.

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang bertanggungjawab mencalonkan Annuar bakal mengadakan pertemuan dengan tokoh bola sepak Kelantan itu dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai kedudukannya.

“KLFA menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Tan Sri Annuar. Kalau boleh kami mahu beliau bertanding kerana kami mahukan demokrasi dalam pemilihan Presiden FAM.

“Bagaimanapun, jika beliau membuat keputusan lain (tidak bertanding) kita tidak boleh berbuat apa-apa. Kami akan mengadakan pertemuan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Kami akan duduk berbincang dan mendengar apa pandangan beliau. Jika Tan Sri Annuar sah mahu bertanding baru kami boleh merangka gerak kerja yang seterusnya,” kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Annuar dicalonkan oleh KLFA untuk merebut kerusi No. 1 FAM, dan setiap calon yang ingin bertanding perlu mengesahkan penerimaan pencalonan selewat-lewatnya pada 14 Jun, sebulan sebelum Kongres FAM ke-54 diadakan pada 14 Julai depan.

Semalam, Azim yang juga Timbalan Majlis Olimpik (MOM) mengesahkan tidak akan merebut jawatan Presiden FAM kerana mahu memberi tumpuan kepada organisasi lain melibatkan dirinya biarpun dicalonkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Jawatan Presiden FAM kosong selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam Mesyuarat Khas Pertama bagi penggal 2017-2021 pada 2 April lalu menerima peletakkan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM.

Sementara itu, Annuar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut ketika ditanya apakah peluangnya cerah selepas Azim menarik diri.

“Tiada komen. Buat masa sekarang saya enggan mengulas lanjut mengenai FAM,” katanya.