Tegasnya, selain itu, keputusan itu dibuat berikutan hak yang ada bagi setiap individu untuk merebut jawatan tersebut berdasarkan peraturan yang ada dalam badan induk bola sepak negara berkenaan.

Sehubungan itu, beliau telah menyerahkan borang pencalonan di pejabat persatuan itu semalam bagi tujuan pengesahan.

“Saya telah berjumpa de­ngan Setiausaha Agung FAM dan dia cakap tiada siapa yang mahu bertanding. Jadi saya takut tiada presiden nanti. Setakat ini saya telah menyerahkan borang pencalonan dan menandatangani su­rat persetujuan (untuk bertan­ding).

“Lagipun sesiapa sahaja mempunyai hak untuk bertanding,” ka­tanya ketika ditemui semasa Majlis Perjumpaan Bersama Pertubuhan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Annuar enggan mengulas apabila ditanya ber­ke­naan pencalonan lain.

“Masa masih panjang hingga ke tarikh­nya nanti dan saya tidak mahu memberi komen tentang orang lain. Kalau ada apa-apa biarlah saya umumkan selepas ini,” tegasnya.

Annuar sebelum ini pernah menyatakan sekiranya Tunku Ismail bersetuju untuk bertanding jawatan Presiden FAM, maka beliau sedia berundur untuk memberi laluan kepada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku apabila beliau tetap meneruskan niatnya, sekalipun TMJ telah pun mengesahkan akan bertanding.