Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, beliau sudah memberi persetujuan kepada pasukan Lang Merah untuk melengkapkan kuota import kelima mereka.

“Saya sudah bersetuju dan seterusnya terpulang kepada pihak pengurusan KFA dan jurulatih (Ramon Marcote) untuk menilai pemain itu (Andik),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehadiran bekas pemain Selangor itu di negeri ini, selain tersebar gambar Andik memakai jersi Kedah dan serta bergambar dengan penolong pengurus pasukan, Haris Che Mat.

Menurutnya Ahmad Bashah, penambahan seorang lagi pemain import bagi kuota ASEAN itu adalah satu keperluan untuk menguatkan cabaran pasukan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Kedah sebelum ini tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, sebelum dimalukan 1-3 oleh Perak di tempat sendiri dalam dua perlawanan pembukaan Liga Super, musim ini.

Andik, 27, bermain selama empat musim buat Selangor dari 2013 hingga 2017, namun kecederaan membataskan aksinya pada musim terakhir bersama Red Giants. Dia tidak ditawarkan penyambungan kontrak sebaik sahaja ia berakhir pada November lalu. - UTUSAN ONLINE