Ancelotti, 58, menjadi pilihan untuk menggantikan Giampiero Ventura yang dipecat bulan lalu ekoran kegagalan Itali melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

“Ya, persekutuan (Persekutuan Bola Sepak Itali) ada menghubungi saya dan saya bercakap dengan mereka.

“Saya beritahu mereka apa yang saya beritahu anda sekarang, saya anggap ia satu penghormatan apabila ramai orang mahu saya menjadi jurulatih skuad kebangsaan.

“Bagaimanapun, ia sama sekali tugas yang berbeza. Menjadi jurulatih kebangsaan tidak sama dengan melatih kelab. Saya masih seronok bekerja dan berlatih setiap hari. Bola sepak Itali juga mempunyai beberapa masalah yang perlu diselesaikan,” kata Ancelotti kepada program televisyen La Domenica Sportiva, semalam.

Bekas pengurus Chelsea, Real Madrid, Juventus dan AC Milan itu kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas dipecat oleh Bayern Munich pada hujung September lalu.

Dilahirkan di Reggiolo, Itali, Ancelotti menjadi pilihan untuk memulihkan bola sepak Itali kerana mempunyai rekod cemerlang sebagai pemenang tiga kejuaraan Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, Ancelotti percaya, masalah yang dihadapi bola sepak Itali sangat serius dan dia tidak dapat memulihkan keadaan berseorangan.

“Bola sepak Itali mempunyai masalah serius dan saya tidak fikir saya mampu menyelesaikannya secara bersendirian. Seperti biasa jurulatih dipersalahkan tetapi itu bukan cara ia berfungsi.

“Terdapat masalah struktur. Sebagai contoh, kenapa kita satu-satunya negara di Eropah yang mana stadium tidak penuh dari awal hingga akhir dan separuh kosong? Itu bukan kesalahan Ventura.

“Saya menyedari terdapat konflik kepentingan antara kelab dan persekutuan, seperti di Jerman, Perancis dan England, tetapi sekarang persekutuan perlu menunjukkan kuasa mereka terhadap kelab dengan memperkenalkan peraturan baharu demi memperbaiki bola sepak Itali.

“Sebagai contoh, saya fikir Serie A akan mendapat banyak manfaat dengan dikurangkan daripada 20 pasukan kepada 18 dan saya tahu ada kelab yang bersedia untuk mengundi keputusan tersebut,” katanya lagi. - AFP