Tewas dengan margin 0-3 kepada Bournemouth di Stamford Bridge dan 1-4 kepada Watford di Vicarage Road meletakkan kedudukan pengurus berasal dari Itali itu ibarat telur di hujung tanduk menanti masa ditunjukkan pintu keluar.

Sejak beberapa hari lalu, beberapa nama besar seperti bekas pengendali Barcelona, Luis Enrique, Diego Simeone, Max Allegri, Thomas Tuchel dan bos Napoli, Maurizio Sarri disebut-sebut sebagai calon berpotensi mengisi kekosongan kerusi panas kelab yang berpangkalan di ibu kota London itu.

Terbaharu, akhbar Sepanyol, Sport melaporkan, Enrique telah bersetuju dengan terma kontrak bagi menggantikan Conte, namun perkara itu hanya akan direalisasikan pada akhir musim ini.

Enrique
LUIS ENRIQUE disebut-sebut bakal menggantikan Antonio Conte di Stamford Bridge.

Enrique dijangka membawa masuk pembantunya, Juan Carles Unzue yang kini merupakan pengurus Celta Vigo; jurulatih, Robert Moreno; jurulatih kecergasan, Rafel Pol dan ahli psikologi sukan, Joaquin Valdes serta bekas pertahanan Chelsea, Juliano Belletti.

Conte ketika dalam sidang akhbar selepas perlawanan menentang Watfort memberitahu, dia tidak gentar dipecat sebaliknya mencabar kelab untuk memecatnya jika mereka merasakan pengendali itu tidak cukup bagus untuk Chelsea.

“Tidak, saya tidak risau akan tugas ini. Saya bekerja setiap hari dan memberikan 120 peratus, jika ini tidak cukup, okey.

“Kelab boleh mengambil keputusan berbeza namun saya tidak bimbang. Saya boleh jadi pengendali Chelsea atau tidak, adakah itu masalahnya? Jiwa saya tetap tenang,” katanya.

Conte cemerlang pada musim pertamanya di Liga Perdana apabila berjaya merangkul kejuaraan liga dan muncul naib juara Piala FA Inggeris selepas tunduk 1-2 kepada Arsenal pada musim lalu.

Plot karier Conte di Chelsea bertambah sukar selepas itu apabila pada 28 Mei 2017 dia dilaporkan bakal meninggalkan Chelsea namun bekas pengendali Juventus itu menafikannya.

Kemelut pengurus berusia 49 tahun itu bersama pengurusan tertinggi kelab menjadi rumit selepas Conte berang terlepas pemain sasarannya, Romelu Lukaku yang memilih untuk menyertai Jose Mourinho di Old Trafford.

Lukaku
ROMELU LUKAKU memilih berhijrah ke Manchester United berbanding kembali ke Chelsea.

Biarpun begitu, Conte menandatangani kontrak baharu sehingga 2019 namun 10 hari kemudian, beliau terlepas seorang lagi bintang, Nemanja Matic yang dijual ke Manchester United.

Rekrut musim panas seperti Danny Drinkwater, Tiémoué Bakayoko, Davide Zappacosta dan Antonio Rüdiger bukan pemain sasaran Conte dengan pemain-pemain baharu ini gagal menjelmakan persembahan terbaik untuk Chelsea.

Tiémoué Bakayoko
TIEMOUE BAKAYOKO (kiri) gagal mempamerkan aksi mantap sejak menyertai Chelsea dari As Monaco musim ini.

Konflik bersama Diego Costa yang kemudiannya dijual kepada Atletico Madrid, perang dingin dengan pemain berpengaruh di bilik persalinan, David Luiz membuatkan masa depan Conte kian samar di Stamford Bridge.

DIEGO COSTA
DIEGO COSTA tinggalkan Chelsea selepas tidak sehaluan dengan Antonio Conte.

Sistem latihan keras yang diterapkan Conte kini dilihat sebagai satu masalah dalam kalangan pemain sehingga menyebabkan ramai pemain utama mengalami kecederaan.

Memberikan pemain rehat tiga hari selepas tewas kepada Watford, masa depan Conte mungkin ditentukan dalam perlawanan menentang West Bromwich Albion Isnin ini di Stamford Bridge.

Segalanya terletak di tangan pemilik kelab, Roman Avramovich yang mempunyai kecenderungan memecat pengurus apabila yang gagal menghadiahkan trofi dalam semusim.

Cabaran daripada Barcelona dalam aksi pusingan 16 terakhir bakal menanti pada 21 Februari dan 15 Mac, sementara Manchester United pada 25 Februari dan Manchester City (5 Mac) mungkin membuatkan kisah Conte di Chelsea berakhir. - UTUSAN ONLINE