Timbalan Presiden PFA yang menjalankan tugas Presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, selepas memberj tempoh selama dua minggu, Ahmad Amizal masih gagal memberi sebarang maklum balas mengenai tuntutan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada barisan peguam PFA untuk memfailkan saman terhadap Ahmad Amizal yang telah merosakkan imej pasukan bola sepak Perlis.

“Tempoh dua minggu yang diberikan sudah berakhir hari ini dan Ahmad Amizal masih tidak memberi sebarang maklum balas. Kita akan meneruskan langkah mengemukakan saman terhadap Ahmad Amizal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan PFA mengemukakan tuntutan sebanyak RM3 juta terhadap Ahmad Amizal yang disifatkan telah merosakkan serta memberi imej buruk kepada pasukan bola sepak negeri ini.

Sebelum itu, Abdul Karim berkata, peguam PFA telah mengeluarkan notis mengenainya pada 18 Mac lalu dan memberi tempoh dua minggu kepada Ahmad Amizal menjawab tuntutan itu.

Ahmad Amizal yang dilantik sebagai Presiden PFA pada Oktober lalu telah melepaskan jawatannya bulan lalu selepas melakukan kerosakan terhadap bola sepak Perlis termasuk gagal melunaskan gaji pemain.

Sementara itu, Ahmad Amizal ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen dan akan memberi maklum balas mengenainya selepas bersedia berbuat demikian. - UTUSAN ONLINE