Itulah yang boleh digambarkan tentang keadaan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang yang amat mengejutkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam lawatan mengejut ke AMD petang tadi, Syed Saddiq mendapati, terlalu banyak permasalahan dan kelemahan serius yang perlu ditangani, malah kemudahan latihan serta peralatan yang serba kekurangan gagal menepati tujuan asal akademi tersebut dibangunkan.

“Saya amat kecewa sebaik sahaja melihat sendiri permasalahan di AMD terutama berkaitan kemudahan dan peralatan. Lebih menyedihkan perkara asas iaitu aspek pemakanan tidak diberi penekanan hingga ada pemain terpaksa berlapar kerana makanan disediakan gagal menepati kualiti ditetapkan.

“Akademi yang sepatutnya menjadi pemacu pembangunan bola sepak negara indah khabar dari rupa. Dengan banyak kerosakan dan fasiliti yang tidak boleh digunakan, saya hanya boleh gambarkan kekecewaan saya.

“Kemudahan asas pun tidak sempurna. Para pemain sendiri mengadu kepada saya, bilik mereka macam oven (ketuhar). Makanan di sekolah lama mereka, lebih baik dari makanan di sini. Sampai mereka terpaksa seludup makanan, sebab kelaparan.

“Bukan itu sahaja, dengan bola tidak cukup, baju latihan yang sudah singkat, kasut bola lusuh, masalah kebocoran, gimnasium yang kosong, bilik hydrotheraphy yang tak boleh diguna, performance analysis room yang bocor dan tidak lengkap di mana staff perlu menggunakan laptop sendiri, projek RM 85 juta ini amatlah mengecewakan.

“Saya memandang serius perkara ini. Saya akan mengambil tindakan tegas untuk menangani masalah di AMD, untuk masa depan bola sepak negara,” katanya dalam Facebook. Turut hadir, Pengurus AMD, Yusof Ibrahim.

AMD yang dibina dengan peruntukan RM85 juta mula digunakan pada 2014 dengan objektif membawa dimensi baru dalam bola sepak negara berdasarkan kepada latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa. - UTUSAN ONLINE