Mat Sport
Mat Sport

Bagi Mat, masalah dihadapi Kelantan ini wajar dijadikan iktibar dan pengajaran.

Entah di mana silapnya, Kelantan yang satu ketika adalah peneraju kepada peng­urusan bola sepak yang moden manakala pasukannya The Red Warriors begitu gah pada satu ketika, kini dihimpit dengan tuntutan tunggakan gaji.

Mat tidak tahu macam mana Kelantan menguruskan kewa­ngan mereka namun bagi Mat adalah lebih baik mereka melakukan penstrukturan semula gaji pemain supaya tidak perlu mengeluarkan belanja yang terlalu besar semata-mata mahu membayar gaji pemain sahaja.

Perlu diingatkan, kebiasaannya hampir 60 hingga 50 peratus bajet setiap pasukan pada setiap musim dihabiskan untuk membayar gaji pemain tempatan serta import.

Mat tengok kebanyakan pa­sukan cenderung untuk mendapatkan pemain ternama de­ngan bayaran gaji yang mahal sedangkan bagi Mat landskap bola sepak negara masih belum mencapai standard yang diharapkan. Buat apa ambil pemain mahal-mahal tetapi setengah mati nak bayar. Baik ambil yang tiada nama, gilap bakat mereka kemudian jual. Baru duit masuk.

Mat percaya bukan mudah untuk setiap pasukan memastikan mereka membayar gaji tepat pada masa­nya tambahan pula tidak banyak syarikat yang berminat untuk melaburkan sejumlah duit dalam sukan bola sepak.

Itu jelas menunjukkan masalah kewangan sentiasa menghantui pasukan dalam Liga M dan mereka perlu bijak menguruskan sumber kewa­ngan yang ada. Kalau duit sudah tiada, hutang keliling pinggang buat apa nak ambil pemain baharu lagi.

Selesaikan dahulu segala hutang-piutang sebelum membuat pembelian pemain baharu. Pastikan duit yang keluar seimbang dengan duit yang masuk.

Adakalanya Mat tidak dapat bayangkan sekiranya Tan Sri Annuar Musa sudah tidak bersama Kafa lagi.

Mana tidaknya, hanya beliau sahaja yang sering bersuara demi Kelantan dan selalu memberi pelbagai alasan terhadap masalah kewangan yang dihadapi oleh Kafa.

Bagi Mat, yang penting masalah kewangan ini janganlah sampai menyebabkan pasukan Kelantan terkubur.