Ahmad berkata, sebagai peminat sukan bola sepak, beliau hanya mahu berkongsi rasa dan pendapat dengan penyokong lain mengenai kemerosotan skuad Penyu.

Justeru katanya, tidak timbul isu mahu menyingkirkan Presiden PBSNT yang kini disandang oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mahu pun

tuduhan mengaitkan ahli UMNO yang berada dalam pengurusan dalaman PBSNT ingin merampas jawatan Presiden.

“Saya berharap pengguna media sosial berhati-hati mengeluarkan kata-kata yang tidak sahih yang mengundang dosa percuma saja lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Ambe (saya) sayang pasukan bola Terengganu, nok (nak) biar ada perubahan hok (yang) molek, takkan hok tu pun nak fitnah ambe... #awokTerengganujanganpecoh,” katanya dalam catatan yang dimuat naik di laman Facebooknya semalam.

Ahmad menjelaskan, semasa berkhidmat sebagai Menteri Besar dahulu dia tidak pernah memegang jawatan Presiden PBSNT.

Bagaimanapun, katanya, sukan termasuk bola sepak merupakan keutamaannya kerana aktiviti itu dapat menyatu-padukan masyarakat negeri ini tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Katanya, sekitar tahun 2011 ketika dia menerajui Terengganu, sukan bola sepak negeri boleh dikatakan mencapai era kegemilangan apabila berjaya mendakap Piala FA, naib juara Liga Super dan naib juara Piala Malaysia, dengan kejayaan itu tidak mampu dicapai tanpa usaha, dedikasi dan sokongan daripada pelbagai pihak khususnya dokongan pihak kerajaan pada waktu itu.

“Pada masa itu Terengganu antara negeri yang disegani dalam Sukan Malaysia (Sukma), basikal, kanu, bola sepak dan lain-lain. Terengganu juga tidak kurang hebatnya dari segi prasarana sukan malah negeri kita mempunyai lebih daripada sebuah sekolah sukan dibina kerajaan Persekutuan.

“Lebih membanggakan, dalam Anugerah Sukan Terengganu (AST 2018) baru-baru ini saya salah seorang penerima anugerah dan penghormatan daripada Menteri Besar Terengganu. Jadi marilah kita bersatu padu dengan semangat kesukanan lebih-lebih lagi kita sesama Islam. Hentikan fitnah yang tidak berasas ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE