Pengendali United itu tanpa berselindung mendedahkan bahawa meletakkan pasukan itu menjadi juara Liga Perdana Inggeris dan Eropah adalah perancangan jangka panjangnya di Old Trafford.

Lima kekalahan dalam tujuh perlaawanan terakhir dalam semua pertandingan membayangi permulaan baik Solskjaer di Old Trafford dan jelas sekali dia begitu kecewa dengan prestasi sesetengah pemain.

Masa depan Sanchez terus menjadi tanda tanya terutama menjelang penghujung musim ini dengan Solskjaer sedang memberi tumpuan untuk membina semula pasukan itu.

Bintang Chile itu sedang bergelut dengan kecergasan sejak menyertai pasukan itu dari Arsenal pada Januari 2018.

Dengan hanya dua gol sepanjang musim, Sanchez dilihat sebagai lebihan pemain yang tidak diperlukan dengan gajinya yang besar mencecah 400,000 pound (RM2.14 juta) termasuk bonus.

Solskjaer mengingatkan setiap pemain dalam pasukan itu untuk menunjukkan semangat ingin berjaya sekiranya ingin dikekalkan.

“Sebagai kelab kami tidak akan membawa pemain. Setiap pemain perlu mengekalkan prestasi, menjadi lebih baik selain memiliki kelebihan secara individu untuk membantu pasukan.

“Saya bukan hanya bercakap mengenai Alexis. Semua pemain adalah sama. Jika kita bercakap mengenai Alexis, dia tidak bernasib baik kerana mengalami pelbagai kecederaan,” katanya.-AGENSI