Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, beliau berharap dengan khidmat ketua jurulatih baharu itu dapat membawa skuad Sang Kancil kepada kedudukan lebih baik dan selain mampu ke peringkat lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Beliau berkata, selepas sesi pertemuan bersama pembantu jurulatih G. Selvamohan dan barisan kejurulatihan, Almeida memaklumkan beliau sedia be­kerjasama untuk membantu pa­sukan menghasilkan keputusan lebih baik dalam separuh kedua musim Liga Super.

“Kita dapat lihat komitmen beliau (Almeida) dan dia faham dengan situasi terkini Melaka United yang kini berada dalam zon penyingkiran dan kehadirannya ke dalam pasukan ini kerana peluang dan kepercayaan yang diberikan.

“Beliau menerima tawaran ini kerana mahu menyahut cabaran demi menyelamatkan pasukan untuk terus kekal bersaing dalam liga utama dan tidak meletakkan harga gaji yang terlalu tinggi,” katanya di sini, hari ini selepas majlis menandatangani kontrak dengan jurulatih itu.

Sementara itu, Almeida berkata Melaka United bukanlah pasukan yang lemah tetapi memerlukan suntikan baharu dan semangat yang lebih segar untuk kembali bersaing dengan pasukan lain dan keluar daripada kebuntuan mencari kemenangan.

Almeida, yang turut berkesempatan melihat perlawanan persahabatan antara Melaka United dengan Negeri Sembilan semalam, menyifatkan pasukan itu mempunyai ramai pemain yang bagus namun perlu mempunyai perancangan dan strategi ampuh untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Dengan kehadiran lebih ramai pemain baharu juga kita lihat akan beri lebih banyak pilihan untuk mengharungi jadual yang padat selepas ini untuk perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya.