Alli yang membuat permohonan maaf menjelaskan, bahawa tindakannya menunjukkan isyarat jari tengah sewaktu England melakar kemenangan 2-1 ke atas Slovakia ditujukan kepada rakan sepasukan Kyle Walker dan bukannya terhadap pengadil perlawanan.

Artikel 49.1.a, kod disiplin FIFA, menyatakan mana-mana pemain yang terbabit dalam salah laku terhadap pengadil perlawanan boleh dikenakan hukuman penggantungan empat perlawanan.

Bagaimanapun, rakaman televisyen oleh ITV, yang kelihatan seperti mempertahankan penjelasan Alli bahawa isyarat tersebut merupakan gurauan antara dia dan sahabat baiknya Kyle Walker.

Persatuan Bola Sepak (FA) England pula mendakwa, mereka juga mempunyai rakaman yang masih belum disiarkan untuk menyokong penjelasan pemain tersebut. Insiden itu berlaku sejurus selepas Alli dikasari pemain pertahanan Slovakia, Martin Skrtel.

Pengadil, Clement Turpin tidak dapat melihat dengan jelas insiden yang berlaku antara Alli dan Walker, tetapi pemain pertahanan Manchester City itu bertindak balas dengan melambai-lambaikan tangannya, yang secara tidak langsung menjelaskan bahawa isyarat itu ditujukan kepadanya.

Walaupun FIFA akan memutuskan bahawa Alli tidak menujukkan isyarat itu ke arah pengadil, namun perancang Tottenham tersebut masih boleh dihukum di bawah Artikel 57.

Peraturan itu menyatakan: “Mana-mana pemain yang menghina individu lain, terutamanya menggunakan isyarat atau bahasa yang menyinggung perasaan, atau tingkah laku yang tidak menunjukkan semangat kesukanan boleh dikenakan hukuman.”

Penilaian akan dibuat dalam masa beberapa hari lagi oleh ahli panel disiplin dan walaupun tindakan masih boleh diambil, tetapi jika insiden berkenaan tidak dinyatakan di dalam laporan pengadil, FIFA tidak perlu segera menjatuhkan hukuman. – AGENSI