Bintang tengah Tottenham itu menunjukkan isyarat lucah tersebut sebagai tindak balas atas kekasaran yang dilakukan bekas pertahanan Liverpool, Martin Skrtel pada minit ke-76.

Ada dakwaan mengatakan isyarat itu ditujukan kepada pengadil, Clement Turpin dari Perancis, namun perkara tersebut dinafikan pengurusan England.

Pengurus The Three ­Lions, Gareth Southgate mendakwa, pemain itu menunjukkan isyarat tersebut kepada rakan sepasukan, Kyle Walker dengan niat bergurau dan alasan tersebut turut dipersetujui Alli.

Alli dan Walker adalah rakan sepasukan di Tottenham sebelum bek kanan itu menyertai Manchester City pada musim panas ini.

Walau kepada siapa pun isyarat itu ditujukan, Alli boleh berdepan penggantungan jika insiden tersebut mendapat perhatian badan bola sepak Eropah, UEFA.

“Saya tidak tahu tentang perkara ini sehinggalah anda memaklumkan kepada saya. Kami akan meneliti isu tersebut dalam tempoh beberapa hari ini.

“Dele dan Kyle memang suka bergurau kasar dan mungkin Dele menunjukkan isyarat tersebut ke arah Kyle... mereka memang mempunyai cara yang pelik untuk berkomunikasi,” kata Southgate ketika ditanya mengenai insiden tersebut.

Menurusi laman sosial Twitter, Alli cuba menjelaskan keadaan dengan berkata: “Ha­nya untuk memberi penjelasan, isyarat tangan yang saya tunjukkan malam ini hanyalah gurauan antara saya dan sahabat baik, Kyle Walker!

“Saya mohon maaf jika perbuatan saya itu menyebabkan pihak lain tersinggung! Satu kemenangan yang hebat malam ini.”

Pengulas sukan ITV, Lee Di­xon pula berkata: “Jika pengadil menyaksikan kejadian tersebut dan ia dicatat dalam laporannya, maka Alli bakal berdepan masalah.” – AGENSI