“Saya fikir, babak pertama perlawanan ini adalah yang terbaik pernah kami alami,” kata Southgate selepas England menang 2-1 di Wembley dalam per­lawanan persahabatan kedua terakhir mereka sebelum ke Rusia.

Southgate menyanjungi, ter­utamanya, kuartet serangannya yang dibarisi Harry Kane dan Raheem Sterling dan pemain tengah iaitu Jesse Lingard dan Dele Alli.

Mereka mengasak Nigeria yang tidak tersusun untuk masa yang panjang dalam babak pertama yang berkesudahan de­ngan England mendahului 2-0.

Kepantasan pemain sayap belakang Ashley Young dan Kieran Trippier menambah lagi bisa sengatan kepada barisan Southgate yang perlahan-lahan menonjolkan diri.

Walau bagaimanapun Nigeria meraih satu gol selepas perma­in­an disambung apabila Alex Iwobi menyambar bola yang melantun setelah mengenai tiang gol.

Southgate berkata, England gagal untuk menangani keada­an setelah pelawat menukar pendekatan mereka pada babak kedua, sesuatu yang boleh mengecewakan mereka jika perkara sama diulangi di Rusia.

“Tempoh lima, enam minit itulah yang mesti kami pelajari kerana tempoh itu sudah memadai untuk menyingkirkan anda,” katanya.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata, pasukannya semalam adalah paling hampir dengan gambaran kesebelasan utama England yang akan memulakan kempen Piala Dunia dengan menentang lawan dalam Kumpulan G, Tunisia di Volgograd pada 18 Jun.

“Saya tidak akan semestinya berkata bahawa pasukan yang bermula hari ini ialah pasukan yang akan bermula menentang Tunisia tetapi jelas sekali itu tidak akan terlalu jauh,” kata Southgate.

Jurulatih itu menambah, dia akan membuat keputusan pada Isnin ini sama ada untuk mele­takkan Jack Butland dalam kesebelasan utama ketika menentang Costa Rica dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum Piala Dunia bermula, tetapi memuji prestasi Jordan Pickford semalam.

Jurulatih Nigeria, Gernot Rohr pula berkata, pasukannya boleh dibolosi setengah dozen gol dalam babak pertama tetapi memberi alasan persembahan buruk pasukannya disebabkan oleh jadual perjalanan yang berat buat pemain-pemainnya.

“Apa yang kami lihat dalam babak kedua amat positif. Kami tidak boleh bermain seperti yang kami lakukan dalam babak pertama,” kata warga Jerman itu.

Rohr berkata, dia menjangka pemain tengah Wilfred Ndidi akan pulih daripada kecederaan tepat masanya untuk bermain menentang Republik Czech dalam perlawanan persahabatan pada 6 Jun. – Reuters