Dalam erti kata lain, kedua-dua pasukan hanya berupaya memperbaiki kedudukan sahaja ketika Chelsea ketinggalan 14 mata di belakang City dan Arsenal pula sedang cuba untuk ma­suk kembali ke dalam kelompok empat pasukan teratas.

Apa yang penting masih ada ruang buat kedua-dua pasukan mempamerkan peningkatan dalam permainan mereka untuk sekurang-kurangnya meleraikan masalah kerana bakal dibayangi kehilangan pemain bintang atau kesukaran mencari pemain baharu ketika jendela perpindahan kembali dibuka bulan ini.

Arsenal mungkin akan kehilangan Alexis Sanchez dan Mesut Ozil yang sudah pun menyatakan keengganan untuk menyambung kontrak dengan Arsenal yang dijadual berakhir hujung musim ini.

Ini bermakna Arsenal perlu melepaskan kedua-dua pemain ketika tempoh perpindahan Ja­nuari ini jika tidak mahu kehilangan mereka kepada kelab lain secara percuma. Ketika ini Sanchez sedang diintai Manchester City, Paris St. Germain dan Real Madrid manakala Ozil dikehendaki Manchester United dan Barcelona.

Namun masalah sebenar Arsenal ialah di benteng pertahanannya yang sudah melepaskan 26 gol - paling tinggi dalam kalangan tujuh pasukan teratas ketika ini. Maka masalahya sekarang ialah untuk mencari pemain baharu yang sesuai dengan corak permainan yang diterapkan Arsene Wenger.

Dalam kem Chelsea, masalah mendapatkan gol kembali menghantui skuad bimbingan Antonio Conte walaupun berjaya mendapatkan Alvaro Morata. Penyerang dari Itali itu pada awalnya cemerlang tetapi dalam tujuh perlawanan terakhir hanya mampu menjaringkan dua gol.

Ini menyaksikan jumlah ja­ringan Chelsea kini merupakan yang terendah berbanding empat pasukan teratas yang lain. Michy Batshuayi sebagai pelapis Morata juga tidak banyak membantu.

Kecuali Conte berjaya mendapatkan penyerang baharu termasuk yang sedang diintai mereka iaitu Mauro Icardi dari Inter Milan dan Domenico Berardi dari Sassuolo maka nasib mereka mungkin tidak akan ba­nyak berubah. – AFP