Pasukan-pasukan dari Wilayah Selatan, Utara dan Pantai Timur telah dipilih untuk berentap dalam Pusingan Akhir yang dijadual berlangsung pada 6 Julai 2019 di Lembah Klang.

JBFA muncul juara wilayah pertama (Selatan) di Stadium Hang Tuah, Melaka pada 6 April selepas mengalahkan CIMB Melaka Juniors 2-0.

Ini adalah kemenangan ketiga berturut-turut JBFA dalam AJFC, pencapaian yang amat membanggakan jurulatih, Zainuddin Osman.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ketiga kami dalam pertandingan ini. Secara keseluruhan, saya bangga dengan pencapaian pemain dan ini akan menjadi asas kukuh buat kami untuk membentuk sebuah pasukan yang cemerlang pada masa hadapan,” kata Zainuddin.

Di Stadium USM, Pulau Pinang pada minggu seterusnya, pasukan Bintang Biru yang diketuai Muhammad Imran mengalahkan KBB Allstar FC 1-0 untuk muncul juara Utara.

“Kemenangan ini adalah hasil daripada kerja keras kami dan saya puas dapat membuat ayah gembira. Beliau adalah pembakar semangat dan penyokong saya, begitu juga dengan abang saya.

“Memenangi liga ini dan berjaya menduduki tangga 18 terbaik adalah cara untuk membalas jasa mereka. Fokus seterusnya melakukan yang terbaik dalam Pusingan Akhir,” kata Imran yang dinobat sebagai Pemain Terbaik perlawanan.

AJFC kemudian bersambung di Kuantan pada 14 April untuk zon Pantai Timur yang menyaksikan Kuantan Soccerkids FC A muncul juara kali keempat selepas menumpaskan Tunas Lagenda Pahang 1-0 di Stadium UIA.

“Kami telah berkerja keras untuk memenangi perlawanan ini, tambahan pula aksi menentang Tunas Lagenda Pahang sangat sengit. Apa yang membezakan kedua-dua pasukan, kami berjaya merebut peluang yang datang,” kata jurulatih Kuantan Soccerkids FC A, Fairul Hashim.

Selepas tamat Pusingan Akhir, 18 pemain terbaik dari setiap wilayah akan berentap sesama sendiri, termasuk pasukan dari Sabah dan Sarawak dari 4 hingga 6 Julai di Lembah Klang.

Dalam Perlawanan Akhir tersebut, para pemain beraksi bagi membuktikan kemampuan individu di depan panel pemilih AJFC Liga Malaysia yang diketuai bekas pemain antarabangsa, K. Gunalan bagi membolehkan mereka muncul 10 terbaik untuk menyertai Kem Explorer Allianz – Edisi Bola Sepak di Singapura dari 23 hingga 26 Julai.

Di kem tersebut, pemain akan mengambil bahagian dalam sesi latihan dan bertanding merebut dua tempat untuk menyertai Kem Explorer Allianz – Edisi Bola Sepak di Munich pada 22 hingga 27 Ogos, yang mana mereka berpeluang dilatih jurulatih belia Bayern Munich di Sabener Strasse.

AJFC telah dilancarkan di Malaysia pada 2012 dan dibuka kepada pemain bola sepak remaja berumur 14 hingga 16 tahun. - UTUSAN ONLINE