Penyerang pinjaman dari Chelsea, Bertrand Traore menjaringkan gol pembukaan tuan rumah seawal minit ke-25 diikuti jaringan kedua menerusi bintang muda Denmark, Kasper Dolberg sembilan minit selepas itu.

Bersambung di babak kedua, Amin Younes memastikan gol ketiga Ajax pada minit ke-49 namun Mathieu Valbuena cuba merapatkan jurang buat wakil Perancis, pada minit ke-66.

Bagaimanapun pada minit ke-71, Traore sekali lagi merakam nama sebagai penjaring sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya Ajax.

Kemenangan besar itu memastikan juara empat kali, Ajax berada di landasan tepat untuk melangkah ke pentas akhir.

Kali terakhir kelab Belanda itu beraksi di final peringkat Eropah adalah pada Liga Juara-Juara 1996 ketika tewas kepada Juventus menerusi sepakan penalti. - REUTERS