Dalam perlawanan playoff di Stadium San Siro, Itali diikat 0-0 oleh Sweden, sekali gus gagal layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958 menerusi agregat 0-1.

“Ia amat memalukan apabila perlawanan rasmi terakhir saya berakhir dengan gagal layak ke Piala Dunia .

“Kegagalan ini harus dipikul oleh semua pihak, tiada siapa yang patut dijadikan kambing hitam,” kata penjaga gol berusia 39 tahun itu.

Selain Buffon, turut mengikut jejaknya untuk menggantung but adalah dua pertahanan Juventus, Andrea Barzagli, 36, dan Giorgio Chiellini, 33, selain bintang tengah Roma, Daniele de Rossi, 34.

Buffon yang dianggap legenda Azzurri dan telah membuat 175 penampilan sepanjang 20 tahun menyarung jersi Itali tetap percaya, juara Piala Dunia empat kali itu mempunyai masa depan yang cerah.

“Masa depan sentiasa ada buat bola sepak Itali kerana ia adalah kebanggaan kami dan selepas kekecewaan pasti kami akan mencari jalan untuk kembali cemerlang,” katanya, yang membantu Itali menjulang Piala Dunia 2006.

Sementara itu, pengurus Itali, Giampiero Ventura, 69, yang mempunyai kontrak sehingga 2020 enggan ditemuramah oleh televisyen tempatan sejurus kekalahan, sebaliknya hanya hadir ke sidang media 90 minit selepas tamat perlawanan.

“Saya tidak meletak jawatan kerana belum bercakap dengan presiden lagi.

“Saya minta maaf kerana terlewat namun saya memuji komitmen yang ditunjukkan oleh semua pemain.

“Berundur? Saya perlu menilai isu ini dengan lebih mendalam dan akan membincangkannya dengan badan induk bola sepak Itali,” kata Ventura.

Bagi Barzagli pula, dia amat sedih kerana terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan, namun kesedihan itu tidak mampu menandingi kekecewaan gagal ke Piala Dunia. – AGENSI