Timbalan Presiden PFA yang menjalankan tugas Presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, setakat ini, Ahmad Amizal masih mengambil pendekatan mengunci mulut dan belum memberi sebarang maklum balas mengenai tuntutan tersebut.

Katanya, jika Ahmad Amizal gagal bertindak demikian, barisan peguam PFA akan mengambil langkah seterusnya iaitu menyaman individu berkenaan yang telah memberi imej buruk serta merosakkan pasukan bola sepak Perlis.

“Tempoh dua minggu yang diberikan sudah hampir berakhir dan sehingga kini Ahmad Amizal masih belum memberi sebarang maklum balas. Kita tidak akan memberi muka kepada individu yang telah menyebabkan banyak kerosakan terhadap Singa Utara sehingga disingkirkan daripada beraksi dalam Liga Malaysia 2019,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan PFA mengemukakan tuntutan saman sebanyak RM3 juta terhadap bekas presidennya, Ahmad Amizal yang disifatkan telah merosakkan serta memberi imej buruk kepada pasukan bola sepak negeri ini.

Sebelum itu, Abdul Karim berkata, peguam PFA telah mengeluarkan notis mengenainya pada 18 Mac lalu dan memberi tempoh dua minggu kepada Ahmad Amizal menjawab tuntutan itu.

Ahmad Amizal yang dilantik sebagai Presiden PFA pada Oktober lalu telah melepaskan jawatannya bulan lalu selepas melakukan kerosakan terhadap bola sepak Perlis termasuk gagal melunaskan gaji pemain.

Sementara itu, menceritakan kembali bagaimana Ahmad Amizal boleh terlibat dengan PFA, Abdul Karim berkata, individu tersebut yang datang mencari mereka dan menawarkan diri menjadi presiden selain memaklumkan bahawa dia mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

“Dia (Ahmad Amizal) memperkenalkan diri sebagai ahli perniagaan dan berjanji untuk membantu menaikkan kembali Singa Utara dalam kancah Liga Malaysia. Kita yang mempercayai janji tersebut telah memberi ruang kepada Ahmad Amizal.

“Tidak sangka pula jadi begini dan kita tidak akan membiarkan apa yang telah dilakukan oleh Ahmad Amizal,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Amizal ketika dihubungi belum bersedia untuk memberikan sebarang ulasan buat masa ini. - UTUSAN ONLINE