Pemangku Presiden Pafa, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, sehubungan itu Pafa akan mengadakan Kongres Luar Biasa pada 6 Disember ini bagi membolehkan pelantikan Ahmad Faizal.

Muhammad Yadzan yang mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif Pafa berkata, Kongres Luar Biasa itu dijangka turut melantik Timbalan Presiden Pafa yang baharu.

"Jawatankuasa Eksekutif persatuan akur dengan kehendak ahli gabungan yang mahukan Menteri Besar menerajui Pafa dan ia adalah prosedur biasa untuk melantik bos yang baharu.

“Ahli gabungan juga mahukan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dilantik sebagai Timbalan Presiden Pafa," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif, di sini hari ini.

Muhammad Yadzan berharap Kongres Luar Biasa yang akan diadakan nanti mampu memberi harapan dan sinar baharu bagi persatuan itu.

Menurutnya, diharapkan isu itu akan selesai dalam masa terdekat bagi memastikan hala tuju dan perjalanan persatuan untuk mengharungi saingan musim akan datang.

“Kita yakin dengan sokongan beliau (Ahmad Faizal) kepada pasukan Perak sebelum ini yang tidak berbelah bahagi, beliau mampu menjadikan Perak sebuah pasukan yang lebih baik,” katanya.

Kerusi Presiden Pafa kini kosong berikutan peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim pada 8 November lalu setelah beliau dikecam ekoran perbuatannya bergambar dengan trofi Piala Malaysia dalam keadaan tidak sepatutnya. - UTUSAN ONLINE