Satu lagi gol City disempurnakan oleh Raheem Sterling, manakala jaringan tunggal Lei­cester diraih menerusi Jamie Vardy.

Jaringan kelas tersendiri Aguero itu membolehkan dia meledak 14 gol selepas tujuh perlawanan di laman sendiri, manakala skuad bimbingan Guardiola sudah selesa berada di kedudukan pendahulu dengan kelebihan 16 mata.

“Dia adalah legenda tulen kelab ini. Dalam separuh masa kedua dia telah meledak empat gol.

“Bagi saya Sergio mempunyai bakat istimewa ketika berada dalam kotak malah jaringan ketiga dan keempatnya amat menakjubkan,” kata Guardiola.

Dalam perlawanan tersebut City terlebih dahulu mendapatkan jaringan menerusi Sterling seawal minit ketiga sebelum Vardy menyamakan kedudukan pada minit ke-24.

Bermula babak kedua me­nyaksikan penguasaan City sukar digugat oleh pasukan lawan sekali gus membolehkan Aguero meledak empat gol pada minit ke-48, ke-53, ke-77 dan ke-90.

Kini Aguero telah mengumpul 28 gol menerusi pelbagai perlawanan pada musim ini dan lebih lapan daripada Sterling.

Sementara itu, Guardiola berkata, kemenangan tersebut adalah sesuatu yang paling hebat pernah dilakukan oleh pasukannya da­lam masa sama turut bangga dengan prestasi dipamerkan City sejak dia mengambil alih kelab itu.

“Nasihat saya kepada pemain adalah jangan terlalu memikirkan berapa banyak perlawanan yang tinggal sebaliknya hadapi satu demi satu dengan sebaiknya.

“Setiap kali kami ketinggalan mata pada musim ini pasti perlawanan selepas itu kami akan meraih kemenangan.

“Paling penting adalah memastikan pasukan terus konsisten dalam usaha merangkul kejuaraan, bukan sahaja dalam liga,” kata Guardiola. – AFP