WINDSOR JOHN

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John menjelaskan bahawa AFC yang kini berada dalam fasa terakhir kontrak penajaan, sedang menilai dan membincangkan kesemua format pertandingan di bawah kelolaan konfederasi itu, termasuk bola sepak lelaki dan wanita, futsal serta bola sepak pantai.

“Kami dalam proses menilai semua pertandingan dalam AFC kerana berada dalam fasa terakhir kontrak penajaan kita yang tamat pada 2020. Maka dari 2021 hingga 2028, kita ada agensi baru dan penaja yang baharu.

“Kita sedang mene­liti Liga Negara-negara ini bukan kerana pihak lain sudah anjurkan tapi kita berada dalam suatu fasa di mana kita harus menilai semula pertandi­ngan-pertandingan kita. Sebelum ini memang FIFA dan UEFA pernah memberikan cadangan me­ngenai Liga Negara-negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perancangan AFC untuk memperkenalkan format baharu itu dalam majlis AFC Dream Awards 2018 di AFC House di sini, hari ini.

Windsor menjelaskan bahawa kejohanan itu tidak boleh dianggap sebagai pertan­dingan tambahan, tetapi sebagai pertandingan untuk memenuhi kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana negara-negara anggota Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF) masing-masing sibuk dengan Liga Negara-Negara benua masing-masing.

“Jadi tidak mustahil untuk AFC pun menuju ke arah itu. Walau bagaimanapun kita kena membuat penilaian teliti dan bincang dengan negara-negara anggota melalui Jawatankuasa Pertandi­ngan.

“Saya rasa kalau pertandingan ini meningkatkan mutu pasukan dan membantu pembangunan, ia bukanlah sesuatu yang boleh dilupakan, tetapi dipandang serius,” katanya. – BERNAMA