KUALA LUMPUR 17 April – Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul berkata pihaknya masih belum membuat keputusan untuk mengesahkan gelanggang perlawanan antara Malaysia menentang Korea Utara dalam aksi ketiga kelayakan Piala Asia pada 8 Jun ini.
Jumaat lalu merupakan tempoh akhir untuk Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) membuat keputusan bagi menentukan venue tersebut, Windsor berkata beliau akan memberi maklum balas mengenai venue perlawanan tersebut pada hari ini.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai status venue perlawanan tersebut, Windsor berkata, beliau tidak dapat memberi kata putus memandangkan AFC, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan PRKFA masih mengadakan rundingan untuk menetapkan venue perlawanan tersebut.
“Maklumat selanjutnya akan diketahui pada hujung minggu ini. Kita sedang berbincang dengan FAM dan PRKFA.
“Tiada masalah (lewat memberi keputusan). Perlu maklumat lanjut dari kedua dua Persatuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketika ditanya negara yang bakal menjadi pilihan untuk mengadakan perlawanan tersebut, Windsor memaklumkan beliau tidak dapat memberi sebarang petunjuk kerana rundingan masih diadakan.
“Terlalu awal untuk mengenalpasti (negara) yang mana,” katanya lagi.
Skuad Harimau Malaya, sebelum ini di jadual menentang Korea Utara dalam aksi Kumpulan B kelayakan akhir Piala Asia 2019 di Stadium Kim Il-sung di Pyongyang pada 28 Mac lalu.
Bagaimanapun, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Feb lepas.
Keadaan tersebut telah mendorong FAM mengemukakan rayuan kepada AFC untuk mengadakan perlawanan tersebut di venue berkecuali kerana bimbang dengan faktor keselamatan pemain dan pegawai pasukan.