Afandi Hamzah

Akur dengan kekalahannya dalam Kongres FAM ke-53 hari ini, Afandi yang juga Pemangku Pre­siden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata, pengunduran Annuar dua hari lalu sebaliknya mencerminkan keharmonian dan kemesraan dalam pentadbiran bola sepak negara.

“Saya ucapkan se­tinggi-tinggi tahniah kepada dua calon (Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Mohd. Yusoff Mahadi) yang memenangi kerusi Timbalan Presiden FAM.

“Saya yakin mereka yang di­pilih adalah individu yang berwibawa dan mampu membawa bola sepak negara ke tahap ter­tinggi.

“Pengunduran Annuar daripada bertanding mempengaruhi keputusan ini? Saya rasa tidak. Bagi saya, inilah suasana pertandingan dalam FAM, menyaksikan setiap perwakilan berhak menentukannya,” katanya.

Afandi sekadar meraih enam undi berbanding Subahan, 37 undi, dan Mohd. Yusoff, 33 undi.

Kemuncak kongres kali ini adalah pengesahan jawatan Presiden serta pemilihan dua Timbalan Presiden, empat Naib Presiden, lapan Exco lelaki dan dua Exco wanita.

Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengisytiharkan kongres bermula secara rasmi pada pukul 10.07 pagi disusuli ucapan Afandi selaku penyandang Timbalan Pre­siden penggal lalu.