Beliau berkata, jawatan tersebut tidak semestinya diisi oleh Ketua Menteri sebaliknya boleh diberikan kepada mana-mana tokoh atau Exco kerajaan negeri yang berkelayakan.

“Saya ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan mengenai kedudukan Ketua Menteri dalam MUSA, saya tahu apa isunya di situ kalau kita letak tokoh-tokoh sukan mungkin akan timbul masalah kewangan dan sebagainya.

“Tapi kalau kita ada jalan penyelesaian dengan memikirkan tokoh yang lebih baik untuk uruskan sukan maka kita akan berikan (jawatan) kepada tokoh-tokoh itu termasuk Exco-exco kerajaan negeri.

“Asasnya sekarang ramai yang mahu Ketua Menteri di situ bagi memudahkan mendapat kewangan tetapi kalau kita ada cara untuk tingkatkan pendapatan, ada ruang menyalurkan sumbangan di situ, saya rasa ia bukanlah semestinya Ketua Menteri duduk di situ,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Tambah Adly, kerajaan negeri bagaimanapun akan menjadikan pembangunan sukan sebagai asas dalam pentadbirannya kerana ia penting untuk masa depan generasi muda.

Melaka United dibimbing bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sejak beliau dilantik pada tahun 2013 dan pasukan itu dinaikkan taraf dari Liga Perdana ke Liga Super dan kini menghuni tangga ke-10 liga, satu tangga di atas zon penyingkiran. - UTUSAN ONLINE