Juara bertahan dua kali berturut-turut itu mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

“Separuh akhir kedua akan berlainan. Kami akan beraksi di laman sendiri di hadapan 40,000 penyokong.

“Kami memperoleh maklumat berguna daripada aksi separuh akhir pertama. Kami lihat banyak perkara dalam perlawanan tersebut termasuk kelemahan Malaysia terutamanya di bahagian pertahanan.

“Semua pemain kini berusaha keras dan teruja untuk menghadapi aksi separuh akhir kedua. Malaysia pasukan yang kuat namun kami berdepan pelbagai kesukaran ketika menentang mereka pada aksi separuh akhir pertama. Semangat pemain Malaysia berkobar-kobar apabila beraksi di depan penyokong sendiri.

“Kami percaya dengan diri sendiri. Kami yakin kami akan layak ke final. Saya berharap peminat akan memenuhi stadium,” kata Adisak.

Penyerang Muang Thong itu sudah meledak lapan gol sepanjang kempen Piala AFF 2018 malah menjadi penjaring terbanyak Thailand dalam sejarah kejohanan selepas mengatasi pencapaian Natipong Sritong yang menjaringkan tujuh gol pada 1996.

Dia perlu mendapatkan dua gol untuk menyamai rekod pemain Singapura, Noh Alam yang meledak 10 gol ketika membantu The Lions menjulang trofi Piala AFF buat kali ketiga pada 2007.

Sementara itu, pemain tengah Thailand, Nurul Sriyankem berkata Malaysia tidak akan menerima laluan mudah daripada Gajah Perang.

“Kami akan memberikan aksi lebih 100 peratus. Ini bukan sahaja mahu menempah tiket ke final tetapi 5 Disember amat penting buat negara kami,” katanya.

Hari ini merupakan ulang tahun kelahiran mendiang Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej malah turut diraikan sebagai Hari Bapa Kebangsaan. - AGENSI