Keputusan seri 2-2 di Stadium Rajamangala, Bangkok sudah cukup untuk membawa Harimau Malaya melangkah ke final buat kali keempat menerusi peraturan gol tempat lawan, sekali gus meneruskan pemburuan kejuaraan kedua sejak kali terakhir muncul juara pada 2010.

Adisak, 27, diangkat seperti wira sebelum perlawanan bermula kerana dia memegang status sebagai peledak terbanyak dalam Piala AFF 2018 dengan menjaringkan lapan gol.

Dia berpeluang menaikkan lagi reputasinya apabila Thailand dihadiahkan sepakan penalti, tiga minit memasuki waktu kecederaan selepas bola terkena tangan pertahanan Malaysia, Syahmi Safari.

Begitupun, akibat gemuruh tendangan Adisak melambung tinggi hingga membuatkan 60,000 terdiam manakala pemain Malaysia berlari berpelukan sesama sendiri.

Seperti diduga, hanya beberapa minit selepas tamat perlawanan, media sosial dihujani dengan pelbagai status peminat yang menyindir kegagalan bintang Muangthong United itu menyempurnakan sepakan penalti. - UTUSAN ONLINE