Juve membelanjakan sehingga 100 juta euro (RM468 juta) pada musim panas lalu untuk mendapatkan khidmat pemenang lima kali Liga Juara-Juara itu, namun gol pembukaan Ronaldo yang juga jaringan ke-126 dalam kejohanan berprestij tersebut tidak mampu membawa pasukan dari Itali itu mara ke separuh akhir.

Begitupun skuad muda Ajax, yang diketuai oleh pemain pertahanan berusia 19 tahun Matthijs De Ligt, berupaya menjaringkan kemenangan di babak kedua di Turin, sekali gus menang dengan agregat 3-2.

“Satu kemusnahan. Walaupun melabur besar untuk mendapatkan Ronaldo, namun masih belum cukup untuk Juve menamatkan penantian sejak 1996,” demikian tajuk akhbar harian Corriere dello sport merujuk kepada kekalahan mengejut Juve, yang turut mengalami kejatuhan saham 15 peratus hari ini dalam bursa saham Milan.

Juve telah kalah lima kali di pentas akhir sejak 1996 apabila mereka muncul juara buat kali terkahir pada masa itu dengan menumbangkan Ajax.

Sementara itu, jurulatih Massimiliano Allegri berkata, dia tidak menyesal, sambil menyalahkan kecederaan anak-anak buahnya sehingga meragut impian mereka.

“Bola sepak bukan mitos, Ronaldo telah memberikan segalanya pada musim ini. Kami telah menandatanganinya bagi meningkatkan peluang kami untuk memenangi Liga Juara-Juara.

“Bagaimanapun dalam bola sepak, satu tambah satu tidak selalu menjadikannya dua. Ia mungkin mampu menjadi enam atau kosong,” kata Allegri.